KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat berbuka puasa bersama media, NGO, sektor korporat, swasta, syarikat berkaitan kerajaan dan belia di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Ketua Pengarang Kumpulan Astro Awani, Suhaimi Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarang, Kamarul Bahrin Haron, Pengarang Eksekutif, Ashwad Ismail dan beberapa pengurusan tertinggi organisasi media juga menghadiri majlis itu.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menerima cek-cek zakat perniagaan daripada lapan agensi, koperasi dan syarikat dengan jumlah keseluruhan RM5.775 juta.

Zakat diterima daripada PLUS Malaysia Berhad (RM4.06juta), Pertubuhan Peladang Negeri Perak (RM457,388.15), Perbadanan Menteri Besar Perak dan Anak-Anak Syarikat (RM330,000), Perak Integrated Network Services Sdn Bhd (RM330,000).

Turut menyerahkan zakat ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (RM202,512.44), Universiti Sultan Azlan Shah (RM182,026.60), Koperasi Guru Melayu Perak Berhad (RM106,035.13), Pertubuhan Peladang Kawasan Seberang Perak (RM105,013.43).

Sultan Nazrin kemudiannya menyerahkan cek-cek pembayaran zakat itu kepada Mohd Haidi Sulaiman yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Baginda turut menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama para tetamu.