KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melancarkan tren terbaharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu perkhidmatan tren elektrik (ETS2) bagi koc kelas perniagaan.

Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim juga berkenan mencuba sendiri koc tersebut dari Stesen Keretapi Kuala Lumpur menuju ke Stesen Keretapi Ipoh.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sebelum bertolak kira-kira 2.15 petang tadi, baginda sempat mengaminkan bacaan doa selamat bersama hadirin yang hadir pada Pra-Pelancaran ETS2 di platform Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Tren baharu KTMB koc kelas perniagaan eksklusif dilengkapi dengan kemudahan kondusif itu turut menyediakan perkhidmatan pramugara dan pramugari.

Penumpang dalam gerabak itu turut ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB yang terletak di bawah tempat duduk penumpang.

Tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Oktober itu telah mula dijual mulai 8.30 pagi, 12 September lalu.

Harga tiket promosi juga diumumkan sempena pengenalan koc baharu itu iaitu RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis.

Promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Oktober sehingga 30 November 2019 sahaja.

Warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya, kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula layak menerima diskaun konsesi.

Manakala kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

– MalaysiaGazette