IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan terhadap cadangan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, agar Pengerusi Jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk aktiviti politik, digantung jawatannya, sementara siasatan dilakukan.

Baginda juga menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap untuk dipersembahkan kepada baginda terhadap program dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah yang tidak bertauliah.

Ia didakwa berlangsung di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei, dan di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang, Ipoh pada 24 Mei, serta program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Sultan Nazrin menegaskan pemimpin politik di Perak hendaklah memberikan komitmen dan mengambil tanggungjawab untuk memulihara kesucian rumah ibadah umat Islam daripada dicemari dengan kegiatan politik berpuak dan berparti.

Baginda bertitah, semua enam pemimpin parti politik yang hadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, petang semalam, memberikan komitmen menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia, untuk memulihara kesucian masjid dan surau daripada dicemari oleh kegiatan politik berparti.

Setiap seorang memberikan pengakuan akan mengarahkan ahli parti masing-masing untuk tidak lagi menganjurkan program atas nama parti di masjid dan surau, atau merentang sepanduk parti dalam bangunan atau kawasan masjid dan surau atau mengundang penceramah agama berceramah tanpa terlebih dahulu mendapat tauliah berceramah dan kelulusan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Berdasarkan laporan BH semalam, enam pemimpin berkenaan yang menghadap Sultan Nazrin di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam adalah Menteri Besar yang juga Pengerusi BERSATU negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi AMANAH, Asmuni Awi; Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Penasihat DAP yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pembangkang pula diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS negeri, Razman Zakaria – Berita harian

berita lanjut menyusul…..