Oleh: Shafiq Noordin

TELUK INTAN: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah berkenan merasmikan Fakulti Perubatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Teluk Intan di sini pada Selasa.

1fd31fc5-adcf-49ca-84fb-eb7e9fa8eca2

Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

363c0efc-19fc-470d-a791-2043a01afcf4Turut mengiringi ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan barisan exco kerajaan negeri.

Majlis perasmian itu dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Idris dalam ucapannya berkata, kampus itu dibina dengan niat menjadikannya sebagai sebuah pusat kaji selidik komuniti yang menekankan aspek kesihatan masyarakat luar bandar.

Selain itu, katanya, kewujudan kampus yang bercirikan seni bina moden dan futuristik tersebut selari dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan pelajar perubatan berstatus antarabangsa sekaligus mampu memenuhi kekosongan keperluan perubatan di dalam mahupun di luar negara.

“Kita sedia maklum, kampus perubatan amat penting bagi memastikan kelestarian taraf kesihatan rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Kejayaan UiTM menyumbang terhadap peningkatan sistem pendidikan perubatan negara sememangnya tidak dapat dinafikan.

“Justeru, saya percaya kewujudan kampus perubatan ini mampu memberikan impak positif, bukan sahaja kepada pelajar bahkan memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya,” kata beliau.

UiTM kampus Teluk Intan yang dibina di atas tanah seluas empat hektar itu dikhususkan untuk pelajar Fakulti Perubatan universiti tersebut dan pembinaannya telah siap pada Oktober 2010.

Kampus cawangan itu mula menempatkan pelajar tahun tiga Fakulti Perubatan untuk tugasan kesihatan luar bandar dan kesihatan awam pada penghujung 2010.

f7319cbe-0a98-43a9-b42c-e0e23b75aa3b

Kini, pengambilan pelajar kampus itu ditingkatkan kepada seramai 230 pelajar bagi setiap sesi, menjadikannya jumlah pengambilan teramai  pelajar Fakulti Perubatan di kalangan universiti-universiti awam di Malaysia.