GERIK – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya di Pulau Banding, di sini pada Selasa.
Turut berangkat ke majlis berkenaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan barisan exco kerajaan negeri.

Hentian Royal Belum Amanjaya atau dahulu dikenali sebagai Jeti Awam Pangkalan Aman itu telah siap di bina pada september 2016.

Projek bernilai RM20.4 juta itu merupakan projek inisiatif Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Gerik dan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPK)

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Datuk Saarani Mohamed berkata, dengan pembinaan jeti itu diharapkan ia bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam eko-pelancongan.

“Berdasarkan statistik 2017, Royal Belum telah mencatatkan angka tertinggi dari segi jumlah kehadiran pelancongan berbanding beberapa tahun lalu dengan angka 27,327 pelancong dalam dan luar negara.

“Diharapkan dengan siapnya projek hentian ini jumlah tersebut akan terus meningkat pada tahun ini dan tahun-tahun seterusnya,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan dalam majlis terbabit.

Tambah beliau, majoriti daripada pelancong yang melawat hutan malar tertua dunia itu juga terdiri daripada negara-negara Eropah seperi Belanda, Itali dan Jerman.

“Kerajaan negeri ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan persekutuan dan NCIA yang telah memberi peruntukan serta khidmat penyelarasan.

“Semoga pembinaan hentian ini akan merancakkan pembangunan di daerah ini khususnya sektor alam sekitar serta pelancongan negeri,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.

Jeti baharu berkeluasan 4 ekar itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antara seperti kedai serbaneka, medan selera, kedai cenderahati, ruang pakir yang cukup.

Ia juga turut menempatkan agensi berkaitan PTNPk bagi urusan permit masuk dan informasi pelancongan malah jeti juga telah mengatasi permasalahan yang dialami oleh jeti lama yang seringkali ditutup setiap kali banjir disebabkan hujan lebat dan air pasang.

Jeti sama turut dinaiktaraf dan dilengkapi dengan sebuah Pusat Interpretasi yang diilhamkan oleh Milford Sound Pier And Discovery Centre New Zealand bertujuan mendidik dan mempamerkan maklumat flora dan fauna yang terdapat di hutan hujan tropika Belum-Temengor (BTTR) selain mempromosikan pelancongan dikawasan tersebut.