TAIPING – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan berangkat merasmikan Klinik Kesihatan Simpang di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Klinik Kesihatan Simpang seluas 60. 7 hektar yang terletak berhampiran bandar Taiping mula dibina pada 2012 dan beroperasi sepenuhnya pada 27 April 2015 dengan kos keseluruhan pembinaan sebanyak RM14.7 juta.

Kawasan operasi klinik itu merangkumi mukim Simpang yang mempunyai 43 taman perumahan dan lapan kampung dengan anggaran penduduk seramai 56,650 orang yang direkodkan setakat tahun lalu.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucapannya berkata antara objektif pembinaan Klinik Kesihatan Simpang adalah untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif dan holistik dengan pendekatan ‘one stop centre’ kepada masyarakat.

“Perkhidmatan utama yang disediakan antaranya klinik pesakit luar, klinik ibu dan anak, perkhidmatan kecemasan dan klinik pergigian. Di samping itu, perkhidmatan sokongan seperti khidmat farmasi, makmal, radiologi, sains pemakanan dan rehabilitasi turut disediakan,” katanya.

Tambah Dr Dzulkefly, Klinik Kesihatan Simpang melaksanakan konsep doktor keluarga di mana setiap individu dan keluarga mendapat rawatan yang berterusan daripada pegawai perubatan serta ahli pasukan perubatan yang sama.

“Dengan ini, pasukan pegawai perubatan dapat mengenali pesakit serta ahli keluarganya dengan lebih dekat berkaitan isu kesihatan mereka seterusnya dapat membuat diagnosis penyakit yang tepat seterusnya memberikan rawatan yang sewajarnya,” katanya.

Selain itu, Dr Dzulkefly berkata setakat ini tiada rungutan yang diterima berkaitan konsep doktor keluarga sekali gus membuktikan pesakit amat berpuas hati dengan perkhidmatan di klinik tersebut.

Beliau juga berharap agar penduduk di sekitar kawasan Simpang dapat menggunakan kemudahan di Klinik Kesihatan itu dengan sebaik mungkin serta menghargai perkhidmatan yang diberikan oleh anggotanya.

“Kepada semua anggota di Klinik Kesihatan Simpang pula saya berharap anda dapat memberikan perkhidmatan yang profesional, penyayang dan berkesan. Layanilah pelanggan dengan penuh prihatin, sabar dan sedia membantu,” katanya.

-BERNAMA