SERI ISKANDAR — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu bernilai RM9.4 juta di sini, hari ini.
Pembinaan kompleks baharu bercirikan teknologi hijau itu melibatkan kos RM9.4 juta yang mana RM5 juta daripadanya adalah pinjaman daripada kerajaan negeri.

Bangunan dua tingkat itu menyediakan dewan mesyuarat yang boleh memuatkan 40 orang, surau, galeri, bilik mesyuarat dan perbincangan serta kaunter utama dan kaunter pandu lalu.

Kompleks itu menempatkan enam jabatan iaitu Jabatan Khidmat Pengurusan, Perbendaharaan, Penilaian dan Pengurusan Harta, Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran, Perancangan Pembangunan serta tiga unit iaitu Unit Pusat Setempat, Perhubungan Awam dan Undang-Undang.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Dr Nizar Zakaria.

Sementara itu, Nizar ketika berucap berkata MDPT boleh mengubah pendekatan dalam pengurusan pelanggan seiring dengan ledakan teknologi maklumat, berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan lestari serta memainkan peranan eko-sosial dengan melibatkan masyarakat dalam setiap perancangan pembangunan yang memenuhi harapan dan cita-cita penduduk di tempat ini.

“MDPT sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan perbandaran yang berkualiti, berdaya saing dan dinamik kepada penduduk setempat. Seluruh warga MDPT berharap dengan peningkatan hasil yang berterusan selaras dengan pembangunan yang kian. rancak, MDPT akan menjadi sebuah majlis perbandaran pada masa akan datang.

“Sebuah bandar yang dirancang dengan baik dan sempurna mampu memberi refleksi kepada tiga hubungan, manusia dengan pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar,” katanya.

MDPT yang ditubuhkan pada 1 Dis 1979 terletak di Pekan Parit, sebelum berpindah ke Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini, pada 23 Sept 1993.

Setelah hampir 20 tahun beroperasi di kompleks tersebut, MDPT telah membina bangunan sendiri di Seri Iskandar dan telah berpindah pada 21 Okt 2013 dengan jumlah kakitangannya kini seramai 115 orang.