IPOH:Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke majlis penyampaian Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak dan Program Satu Pingat, Satu Pokok Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Mengiringi Baginda, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Dalam majlis berkenaan, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Skim Insentif Kemenangan Atlet Negeri Perak berjumlah RM70,000 kepada pemenang Sukan SEA KL2017 dan lebih RM40,000 kepada pemenang Sukan Para ASEAN KL 2017

Seramai 57 atlet dari Perak, yang mewakili negara pada temasya Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 diraikan dengan meriah dalam majlis tersebut.

Sejurus tiba, Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan sebahagian atlet menanam anak pokok di pekarangan Bulatan Meru Amanjaya menerusi Program Satu Pingat, Satu Pokok Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 .

Seramai 21 daripada 57 atlet Perak yang menerima insentif hari ini adalah penyumbang pingat emas, sembilan pingat perak dan sembilan gangsa pada Sukan SEA lalu.

Selain itu, seramai 23 atlet yang mewakili negara dalam Sukan Para ASEAN turut diraikan pada majlis itu.