IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menitahkan kedua-kedua belah pihak, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membawa menghadap 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan menyokong mereka esok.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata Pakatan Harapan diberikan keutamaan untuk membawa 30 ADUN kerana mereka memenangi 29 kerusi berbanding BN, 27 dan PAS, 3 pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Tuanku memaklumkan kepada wakil-wakil empat parti itu (PKR, AMANAH, DAP, PPBM) oleh kerana Pakatan Harapan mengikut laporan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)mempunyai kerusi terbanyak 29,

“Jadi Duli Yang Maha Mulia menjemput mereka memberi option pertama untuk menubuhkan Kerajaan tetapi dengan syarat mempunyai majoriti mudah, 30 kerusi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kinta, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau menjelaskan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak telah menerima surat daripada BN yang memaklumkan sudah mempunyai majoriti mudah 30 kerusi.

“Majoriti mudah itu 27 dari BN dan 3 anggota parti PAS disembah maklum melalui surat itu telah bersetuju untuk menubuhkan satu kerajaan bersama BN.

“Bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia hendak memastikan kandungan surat itu, BN telah diminta pada pagi esok untuk membawa kesemua 30 orang untuk buktikan mereka ada sokongan itu.

“Sekiranya Pakatan Harapan tidak dapat membuktikan dia ada majoriti mudah, jadi Duli Yang Maha Mulia tidak boleh tangguh lama untuk menubuhkan Kerajaan, insyaAllah pada esok petang,” ujarnya.

Sementara itu, ujarnya tempoh yang dipohon Pakatan Harapan adalah sehingga jam 2 petang Sabtu.

“Ini adalah perjumpaan kedua, sehari selepas PRU dua-dua pihak datang berjumpa, Sultan bertanya dan memberi tempoh sampai hari ini dan Pakatan Harapan minta tangguh sehingga petang esok,”katanya.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan negeri memasuki Istana Kinta di sini menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi DAP, Nga Kor Ming antara yang dilihat masuk ke Istana Kinta pada jam 3.30 petang.

Difahamkan wakil rakyat Pakatan Harapan Perak mahu menyelesaikan isu pembentukan kerajaan negeri yang masih tergantung susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini kerana tiada parti yang memperoleh jumlah kerusi majoriti mudah bagi membolehkan pembentukan kerajaan negeri Perak.

BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan Pas tiga kerusi.

Semalam, BN Perak mengumumkan telah memiliki bilangan kerusi DUN yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri iaitu 30 kerusi.