SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digantung berkuat kuasa 6 Mei lalu.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata turut digantung ialah Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd Amin berkata, penggantungan itu berkuat kuasa hingga kes dan rayuan kes membabitkan mereka selesai.

Najib sebelum ini dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992 dan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004.

Rosmah pula dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Sultan Selangor turut menitahkan Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang dianugerahkan kepada bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn Bhd, Zulkifli Shariff ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa 6 Mei lalu selepas beliau diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia – Berita harian