KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Besar Johor adalah atas keputusan politik.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sultan tidak mempunyai peruntukan untuk memilih menteri besar.

“Ini adalah perkara politik. Sultan tidak ada peruntukan mengenainya. Peruntukannya adalah kepada parti yang memenangi pilihan raya untuk mengenal pasti calon (menteri besar),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Kali Ke-15 di sini.

Beliau menjawab soalan berhubung pengganti Datuk Osman Sapian yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepadanya kelmarin.

Dr Mahathir berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk mengumumkan pengganti Osman kerana perlu mengenal pasti calon.

“Kita akan lantik secepat mungkin, kita hendak tentukan calon atau berapa calon yang kena pilih, kita perlu masa tetapi dengan cepat,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang spekulasi Dr Sahruddin Jamal yang dikatakan akan mengganti Osman, Dr Mahathir berkata: ” Saya tidak tahu’.

Dr Sahruddin dari Parti Pribumi Bersatu Johor (Bersatu) merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong. – MalaysiaGazette