KOTA SAMARAHAN: Empat sekeluarga hari ini dijatuhi hukuman penjara di antara 25 dan 30 tahun setiap seorang selepas mengaku salah melakukan jenayah rogol terhadap dua wanita dalam keluarga mereka, sejak lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kota Samarahan, Marutin Pagan, menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendengar 13 pertuduhan terhadap mereka di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof.

Tertuduh pertama, berusia 57 tahun, yang juga datuk kepada mangsa, dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 24 sebatan, selepas mengaku salah terhadap enam tuduhan melakukan perbuatan terkutuk itu di kediaman keluarga di Kampung Daha Seroban, Serian.

Tertuduh kedua, berusia 42 tahun, yang juga bapa kandung mangsa, dihukum penjara 25 tahun atas dua pertuduhan, di samping 24 sebatan.