Apabila sesi persekolahan dibuka pasti ramai anak-anak baik di peringkat sekolah rendah dan menengah teruja untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan serba baharu.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mahu kelengkapan anak mereka nampak sempurna pada hari pertama sekolah dibuka.

Namun begitu bagi anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan, kadangkala keinginan itu terpaksa dilupakan kerana faktor kekangan kewangan.
Sebagai jalan penyelesaian, mereka terpaksa berpuas hati menyarung uniform lama dan menggunakan semula kelengkapan seperti beg dan kasut sekolah yang sedia ada.

Uniform sekolah pula kebiasaannya ‘diwarisi’ daripada abang atau kakak.

Berbeza dengan pelajar daripada keluarga berkemampuan, mereka ke sekolah dengan kelengkapan serba baru daripada pakaian sehinggalah kepada beg dan kasut sekolah.

Atas dasar itu, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan bersama Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil Rakyat (BAIDURI) merasa terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi memenuhi keperluan anak-anak ini.

Saban tahun, program ini mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat korporat yang prihatin seperti KPerak Inc. dan yang paling terbaru Yayasan Perak.

Bermula dengan 2,000 penerima pada tahun 2014, Program Back To School – Bantu Kami Ke Sekolah telah diperluaskan dengan 7,000 penerima pada hari ini.

Walaupun segelintir pihak merasakan bantuan yang diberikan nampak kecil, namun impaknya terkesan pada sebilangan penerima yang terpilih.

Antara penerima yang terkesan dengan sumbangan ini adalah tiga beradik yatim piatu yang telah kehilangan ibu dan ayah.
Siti Aisyah Yusof, 14 dari Lekir berkata dia bersama tiga lagi adiknya kehilangan tempat bergantung dan sehingga sekarang dia dibela oleh makcik dan nenek.

“Ayah saya meninggal pada bulan Mac lepas disebabkan lemas ketika bekerja sebagai nelayan manakala mak pula meninggal tiga tahun lalu. Apa yang kami dapat hari ini menjadi penguat semangat untuk kami belajar dan teruskan hasrat ibu bapa yang mahu kami belajar hingga ke menara gading,” kata Siti Aisyah yang hadir bersama dua adiknya dengan ditemani ibu saudara.


Zhang Yuhua,35, ibu kepada dua orang anak berpendapat bantuan ini dapat meringankan beban dia yang sudah kematian suami.

“Saya buat kerja cuci rumah orang dan pendapatan tak menentu, suami sudah meninggal dua tahun lepas. Saya hargai pertolongan dari pihak yang terlibat untuk bantu dua orang anak saya,” katanya.
Dalam pada itu, bapa kepada dua orang anak, V.Nogeswaran berkata sumbangan itu amat bermakna buat dirinya yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Kali pertama saya terima bantuan sebegini dan kalau boleh untuk tahun seterusnya kerajaan negeri dapat pertimbangkan untuk masukkan sekali bantuan buku rujukan kepada anak-anak kami,”katanya.