IPOH– Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM 500,000 kepada Masjid Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam bagi kerja pembinaan dan menaiktaraf masjid tersebut.

Sumbangan yang disampaikan Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu itu merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan berjumlah RM 4 juta bagi kerja-kerja pembesaran dan hiasan dalaman masjid.

Menurut Ahmad Faizal, permohonan bagi peruntukan itu diterima sejak beberapa bulan yang lalu, khusus untuk memberi keselesaan buat para jemaah menunaikan solat dan mengadakan program di masjid berkenaan.

“Saya terima permohonan dari jawatankuasa masjid pada Hari Raya Aidilfitri lalu, kita luluskan sepenuhnya untuk manfaat bersama, diharapkan selepas ini masjid ini diimarahkan dengan para jemaah serta anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan itu kepada Pengerusi Masjid, Adnan Din di Masjid Idris Iskandar Shah di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ahmad Faizal bersama-sama jemaah mendirikan solat Maghrib di samping beramah mesra dengan hadirin.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui berkata kos asas menaiktaraf masjid itu berjumlah RM 3.5 juta, tambahan peruntukan dari kerajaan negeri itu digunakan bagi kerja-kerja dalaman.

“Tambah dengan sumbangan hari ini bermakna keseluruhan RM 4 juta, kerja dalaman seperti ukiran dan lampu dalam masjid, kita sudah mulakan kerja pembinaan awal tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya bulan Jun tahun depan.

“Tujuannya untuk keselesaan jemaah, kita tambahkan bilangan kapisiti 1,200 kepada 1,500 jemaah dalam satu-satu masa, untuk kegunaan penduduk di sekitar Sungai Rokam dan penduduk sekitarnya,” ujarnya.