IPOH: Sejumlah RM25,000 diberikan sebagai sumbangan tambahan kerajaan negeri Perak kepada penerjun negara, Cheong Jun Hoong selepas kejayaan atlet itu mencipta sejarah meraih pingat emas acara 10 meter platform wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, sumbangan tambahan itu adalah berdasarkan kriteria dan peruntukan kerajaan negeri, diberikan sebagai tanda penghargaan ke atas kemenangan yang dicipta oleh anak kelahiran negeri Perak itu.

“Saya difahamkan sumbangan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara adalah RM80,000. Jadi kita pun mempunyai kriteria kemenangan, dan bagi kejohanan seperti ini, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah sebanyak RM25,000 lagi.

“Diharapkan insentif ini akan dapat memberi semangat kepada beliau untuk meneruskan usahanya untuk negara serta negeri kita, insya-Allah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Jun Hoong telah menerima sebuah pangsapuri bernilai RM 320,00 dan insentif tunai sebanyak RM15,000 daripada kerajaan negeri selepas membawa pulang pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016.