IPOH: Perak sedia bekerjasama dengan Felcra Berhad bagi mengenalpasti kawasan-kawasan yang sesuai di negeri ini untuk dijadikan sebagai kawasan pengeluaran makanan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia juga selaras dengan pelan perancangan kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Perak sebagai lembah makanan negara, seperti yang beliau umumkan sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri Perak memang berhasrat, malah telahpun memulakan usaha untuk memastikan agar pelan perancangan lembah makanan negara menjadi lebih tersusun dan sistematik.

Bagi tujuan itu, kata Dr Zambry, beliau telah mengarahkan pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan lain-lain syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai, melantik juruperunding untuk mengenal pasti keseluruhan rupa bentuk tanah di negeri ini.

“Kita telahpun melaksanakan beberapa pendekatan strategik kerana sektor pertanian tidak boleh kita nafikan sama sekali akan kepentingannya, tambahan lagi dengan pertambahan penduduk dunia dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad Wilayah Perak di Kelab Golf Diraja Perak di sini yang turut dihadiri Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Hassan Khamis.

Terdahulu Bung Mokhtar berkata, pihaknya akan berbincang dengan beberapa buah negeri, termasuk Perak selepas agensi itu dilantik menjadi peneraju dalam sektor keselamatan makanan negara.

Dr Zambry berkata, perlu ada negeri-negeri yang mempunyai pelan strategik untuk memastikan supaya sumber makanan yang mencukupi dapat disediakan.

Menurut beliau, sebagai jelapang padi kedua negara, termasuk 4,000 hektar yang diusahakan oleh Felcra di Seberang Perak dan tempat pendaratan ikan tertinggi di Malaysia, Perak mengalu-alukan kerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan hasrat menjadi lembah makanan negara.

“Saya mengalu-alukan, termasuk daripada Felcra, kalau mereka mempunyai perancangan tetapi saya mahukan supaya perancangan itu tersusun, tidak tersasar daripada matlamat mereka,” ujarnya.