Ramai bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang telah dibubarkan tidak gembira dengan pekerjaan baru mereka.

Sumber yang juga bekas kakitangan SPAD memberitahu Malaysiakini, ramai yang sedang mempertimbangkan untuk berhenti kerja kerana mendakwa bidang tugas tidak sepadan dengan jawatan mereka sebelum ini, ditambah pula potongan gaji hampir 70 peratus (berbanding pendapatan dengan SPAD).

Pada 4 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hanya kira-kira 20 peratus daripada bekas pekerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang masih belum menerima surat tawaran untuk pekerjaan baru mereka.

Sekurang-kurangnya 937 pekerja terjejas apabila kerajaan Pakatan Harapan membubarkan SPAD, yang sebelum ini berada di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO), berikutan pilihan raya umum 9 Mei dan diserapkan ke Kementerian Pengangkutan.

Tergesa-gesa

Seterusnya, sumber mendakwa langkah memberi pekerjaan baru itu dibuat tergesa-gesa dan merupakan kegagalan yang besar.

“Ramai bekas kakitangan SPAD yang diletakkan di bahagian atau jabatan yang tiada kena mengena dengan pengalaman mereka.

“Beberapa anggota penguatkuasa kini melakukan kerja perkeranian dan mereka yang biasa melakukan kerja-kerja backend kini tercampak ke depan sebagai juruwang di kaunter,” katanya.

Kementerian pengangkutan sebelum ini mendakwa bahawa tawaran pekerjaan baru melibatkan pemeriksaan personaliti dan latar belakang agar dapat memadankan bekas pekerja SPAD ke jawatan yang sesuai.

Bagaimanapun sumber tersebut berkata hal yang sebaliknya berlaku.

“Isunya mereka tidak menjalankan kajian yang betul tentang skop pekerjaan dan pengalaman mereka sebelum ini. Mereka menghantar sebahagian bekas kakitangan SPAD (ke jawatan baru) yang tidak sepadan pekerjaannya.

“Sedangkan ada yang kurang pengalaman dan kelayakan tetapi diletakkan mengisi jawatan yang lebih tinggi,” katanya.

Pengurusan SPAD jalankan

Sumber juga mendakwa keadaan itu berlaku kerana Kementerian Pengangkutan membiarkan pengurusan SPAD yang terdahulu untuk menjalankan langkah tawaran pekerjaan baru dengan penuh kerahsiaan.

“Kebanyakan kakitangan SPAD tidak diajak berunding. Pihak pengurusan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai kakitangannya (dari segi) pengalaman, pengetahuan dan kelayakan, jadi keputusannya adalah berat sebelah,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Pengangkutan bagi mendapatkan penjelasan.

Sumber kementerian pula berkata bekas pekerja SPAD yang menganggap kerja baru mereka sebagai tidak sepadan boleh membuat laporan kepada kementerian.

“Mereka boleh membuat laporan kepada kementerian dan bahkan kepada menteri (Anthony Loke) sendiri. Jika mereka fikir mereka diletakkan pada jawatan atau jabatan yang tidak sesuai. (Nyatakan dengan) spesifik keadaan mereka dan pihak kami boleh mengkajinya,” katanya – malaysiakini