SIMUNJAN: Sungai Batang Kanan di Batang Sadong dikenal pasti antara lubuk udang galah di daerah ini, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan untuk penduduk setempat.

Malah, purata 60 hingga 80 kilogram dapat ‘didaratkan’ sehari, sekali gus dijual kepada peraih pada harga tinggi.
Ini diakui Wilman Tawil, 43, dari Kampung Melanjok yang menjadikan kegiatan menangkap udang galah itu atau disebut ‘udang ulu’ dalam kalangan penduduk setempat sebagai sumber pendapatan utama.

“Ada ketika pukat yang saya pasang penuh dengan udang galah seberat 60 kilogram untuk lima hari berturut-turut.

“Hasil tangkapan banyak kerana Sungai Batang Kanan belum terjejas dengan sebarang bentuk pencemaran, termasuk akibat kegiatan perladangan.

“Hasil tangkapan kemudian saya jual di Pasar Simunjan pada harga antara RM10 hingga RM32 sekilogram. Sekejap sahaja letak, pasti habis terjual,” katanya.

Wilman berkata, beliau mampu memperoleh pendapatan RM800 sebulan dengan menjual udang galah di Pasar Simunjan, selain mengambil tempahan secara dalam talian menerusi Facebook – berita harian