SUNGAI Perak yang mengalir sepanjang 400 kilometer dari Hulu Perak hingga ke Beting Beras Basah di Bagan Datuk menuju ke Selat Melaka menyimpan banyak sejarah kerana di sinilah titik permulaan kehidupan penduduk tanah Melayu beribu tahun yang lalu.

Sejak berzaman lagi sungai yang menempatkan puluhan pekan di sepanjang alirannya, bukan sahaja tempat mencari rezeki tetapi untuk pengangkutan dan perhubungan menjadikannya nadi kepada kelangsungan hidup masyarakat daripada generasi ke generasi seterusnya. Sehingga hari ini kepentingan sungai ini lebih-lebih lagi sebagai punca sumber rezeki kepada masyarakat yang masih bergantung hidup dengannya tidak pernah padam.

Disebalik peranan dan jasa Sungai Perak, masyarakat juga tidak terlepas mempersoalkan musibah serta kecelakaan berpunca daripada sungai ini sehingga meragut banyak nyawa. Kejadian mati lemas memang tidak asing dengan Sungai Perak dan isu ini timbul kembali berikutan kes lemas terbaru yang terjadi pada 17 Jun semasa umat Islam merayakan Syawal ketiga. Sehinga hari ini, mangsa Mohd Ikhwan Mohd Nizam Mohd Nizam, 22, masih gagal ditemui setelah dia tergelincir dan dibawa arus ketika cuba membetulkan jala ayahnya pada hari kejadian.

Statistik yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat mencatatkan sebanyak 30 peratus daripada 55 kejadian lemas di negeri ini berlaku di Sungai Perak dalam tempoh dua tahun sejak 2016, sungai kedua terpanjang di Semenanjung selepas Sungai Pahang. Disebalik angka lemas yang agak membimbangkan, penduduk kampung-kampung berdekatan seolaholah langsung tidak terkesan dengan kecelakaan yang dikaitkan dengan sungai ini untuk mereka menjauhi sungai tersebut.

Mungkin timbul persoalan kalangan orang luar mengapa penduduk kampung masih mahu ‘bermain’ dengan sungai disebalik angka korban yang agak membimbangkan itu. Orang luar mungkin juga berpendapat masyarakat tempatan ambil ringan akan kejadian mati lemas di sungai ini namun ramai juga tidak mengetahui bahawa masih ramai penduduk kampung masih bergantung hidup dengan sungai ini.

‘Jangan Ingke, Sungai Ini Makan Orang’

Mungkin tidak ramai yang percaya dengan pesan orang tua namun ia juga tidak boleh ditolak mentahmentah. Kalangan warga tua kampung sekitar Parit sering menasihati generasi muda supaya sentiasa berpegang pesanan yang diwarisi zaman berzaman iaitu ‘jangan ingke, Sungai Perak ni makan orang’.

Menurut Mohd Jamil Ahmad, 57, tidak menolak kebenaran pesanan itu apabila sungai itu sering mencatatkan kejadian lemas saban tahun. Katanya pastinya ramai yang terkedu malah seram untuk menjejakkan kaki ke Sungai Perak apabila mengenangkan seramai 16 nyawa telahmenjadi korban lemas sungai ini sejak dalam tempoh dua tahun sahaja sejak 2016.

Jamil yang merupakan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini berkata masih ramai yang tidak mengendahkan nasihat orang tua dan sering bermain-main di Sungai Perak itu tanpa beringat. Anak jati Kampung Ekor Lambat berkata dia telah melihat puluhan ahli keluarga menitiskan air mata dan menunggu dengan harapan di tebing sungai itu sepanjang hidupnya.

“Orang tua macam kami hanya mampu berpesan kepada sesiapa yang datang beriadah di sungai ini… jangan ingke, jangan ghairah dan terlalu seronok. Sungai ini airnya berolak dan berubah setiap saat. Yang sedihnya, ramai yang dihanyutkan lemas di sini adalah anak-anak muda.

“Sebak, tengok mak ayah, adik-beradik mangsa lemas menunggu kepulangan anak mereka, dan selalunya ramai mangsa diserahkan kepada keluarga dalam keadaan sudah tidak bernyawa. Saya, dan kawan-kawan saya hanya mampu membantu dan menggunakan bot menyertai misi menyelamat dan mencari mereka di sekitar sini, tapi semuanya kami serahkan kepada Allah, ”katanya yang kini merupakan nelayan darat di Kampung Ekor Lambat.

Gesa Pihak Berwajib Tingkatkan Keselamatan Dengan kepakaran selama 22 tahun sebagai bekas anggota TLDM, Mohd Jamil menggesa agensi terlibat untuk meningkatkan aspek keselamatan bagi mengurangkan kadar mati lemas di Sungai Perak.

Katanya, antara langkah keselamatan yang perlu ada adalah dengan memasang life-buoy atau pelampung di sepanjang tepi sungai itu khususnya di sekitar kawasan yang kerap dikunjungi orang ramai.

Beliau berkata langkah ini sekiranya dilaksanakan dapat mengurangkan kejadian mati lemas sekiranya insiden tergelincir dan arus deras ketika berada di sungai itu. “Jujur saya katakan, insiden kecelakaan di sungai ini kebanyakkannya melibatkan orang luar yang tidak tahu-menahu betapa bahayanya sungai ini, jadi apa yang boleh dilakukan oleh agensi atau jabatan berkaitan adalah pacakkan satu pelampung di setiap 20 kaki sepanjang tebing sungai.

“Dengan cara ini, insya Allah kalau ada kejadian lemas kita boleh campakkan pelampung itu ke arah mangsa dengan harapan boleh menarik mereka semula ke tebing,”katanya kepada Suara Perak. Mohd Jamil berkata, beliau juga menyarankan agar pihak agensi terlibat dapat mewujudkan satu kempen kesedaran mengenai risiko berenang atau bermandi-manda di Sungai Perak bermula dari sekarang. “Jangan kita gelojoh, jangan fikir kita hebat.

Pakai life-jacket jika ragu-ragu atau sehebat mana pun kita berenang, kita di ‘alam’ lain. Sedangkan di tanah yang keras kita boleh tersadung jatuh, inikan pula ketika dalam air yang beralun. “Saya pernah nampak penyelam hebat TLDM lemas di Sungai Perak ini, inikan kita yang masih tidak tahu apa-apa…dan akibat daripada seronok, kita hilang orang tersayang,”ujarnya lagi.

Nadi Pendapatan Nelayan Darat Sementara itu, Hasnan Ahmad, 53, dari Kampung Selboh berkata sungai itu tetap menjadi punca pendapatan utama mereka biarpun telah mengorbankan ramai nyawa sejak dari dulu. Nelayan darat yang telah berkecimpung dalam perniagaan ikan sangkar selama lebih 15 tahun itu berkata sepanjang hidupnya, pelbagai kecelakaan telah berlaku di sungai yang menjadi periuk nasi kepada mereka seisi keluarga namun ianya sebenarnya boleh dielakkan “Betullah kata orang, jangan cari bala.

Kadangkadang, orang kata kami, komuniti nelayan darat ini garang sebab selalu marah dan tegur orang luar yang datang ke sungai untuk bermandimanda. Itu perkara biasa, kami dah lali kerana bila kami nampak orang luar yang kami tak kenal, kami akan cakap jangan masuk ke dalam air.

“Jika kita tengok, anak-anak muda ini bila mandi di sungai, dia bukan pergi seorang dua tetapi berkerumun malah ramai. Kita tidak tahu di dalam keseronokan itu kadang-kadang kita alpa, kita leka. Tengok-tengok, dah hanyut (lemas), masa itu dah terlambat” katanya.

Hasnan berkata beliau sendiri pernah terlibat dalam membantu operasi menyelamat untuk mencari mangsa lemas berbekalkan pengalamannya sebagai seorang nelayan di situ justeru peringatan dan teguran itu adalah ikhlas dari hatinya.

“Ada ramai yang bertanya, tak takut ke mencari rezeki di tempat yang dah banyak “makan orang”? Saya jawab, tidak salah kita mencari sesuap nasi di sungai ini, itu rezeki kita. Yang salahnya, kita tak hormat, kita cuai dengan keselamatan diri dan anakanak, jadi beringatlah, itu pesan saya,”katanya ketika ditemui di sangkar ikannya di Kampung Selboh,Parit baru-baru ini.

Kes Mati Lemas Terjadi Tanpa Amaran, Petanda

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak, Penolong Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidun berkata sepanjang dua tahun lepas sungai yang juga menjadi mata pencarian bagi penduduk kampung itu telah meragut seramai 16 nyawa tanpa mengira usia.

Katanya, berdasarkan statistik Bomba, sebanyak 55 kematian kejadian lemas yang direkodkan, 30 peratus berlaku di sepanjang Sungai Perak dan ianya adalah angka yang membimbangkan. “Kebanyakan kes yang berlaku, sewaktu musim perayaan ketika ahli keluarga sedang berkumpul, program memancing, bermandimanda dan dalam sekelip mata, mereka dihanyutkan tanpa sebarang amaran dan petanda.

“Ada yang mengatakan, bahawa hanya orang luar sahaja yang ditimpa risiko untuk lemas kerana tidak mengenali sungai ini, saya nafikan perkara itu kerana kemalangan, tidak mengira sesiapa. Sedangkan orang kampung sendiri sepanjang sungai ini, yang telah membesar di tebing sungai ini…juga boleh lemas,”katanya. Beliau menasihati agar sesiapa sahaja yang bertandang ke Sungai Perak untuk sentiasa berwaspada, usah leka dan pastikan berada dalam jagaan orang tua khususnya yang masih kecil.

Perit Untuk Ditelan Tapi Kehidupan Perlu Diteruskan – Ayah Mangsa Lemas

Di kala keluarga lain bergembira, syawal tahun ini merupakan peristiwa pahit yang akan kekal dalam ingatan Mohd Nizam Abdullah. Bapa kepada tiga anak itu kehilangan anak sulungnya Mohd Ikhwan, 22, yang dikatakan menjadi mangsa korban Sungai Perak.

Pada 17 Jun, ketika umat Islam merayakan Syawal ketiga, Mohd Ikhwan tenggelam dibawa arus ketika menjala ikan di Sungai Perak di Kampung Ekor Lambat, dekat Parit pada 12.30 petang. Sehingga hari ini, Mohd Ikhwan tidak ditemui walaupun pelbagai cara telah dilakukan Jabatan Bomba untuk mencar dan mengesannya sepanjang Sungai Perak dengan kekuatan enam bot dan 70 anggota sejak hari kejadian.

Malah Nizam yang menyambung usaha mengesan dan mencari juga telah menghentikan pencarian beberapa hari lalu setelah tiada langsung petunjuk yang diperolehi. Ketika dihubungi, terpancar kesedihan seorang ayah yang melihat sendiri anaknya terkapai-kapai di bawa arus deras di depan mata dan gagal menemuinya walaupun pelbagai ikhtiar telah dilakukan.

“Sudah berakhir, semua sudah saya akhirkan dan saya pun dah maklumkan kepada penduduk kampung yang tidak pernah mengeluh membantu saya, terima kasih. “Pencarian sudah pun saya tamatkan, namun begitu anak saya masih belum ditemui dan kami juga tidak menemui sebarang penunjuk atau apaapa tanda hingga kini,”katanya dengan nada sedih.

Jelasnya, penduduk setempat juga tidak putus melaksanakan solat hajat malah secara bersamasama sentiasa mendoakan Mohd Ikhwan ditemui, sama ada ia membawa berita sedih ataupun gembira. Malah, Nizam berkata majlis bacaan Yasin turut dialunkan di sepanjang tepi sungai Perak oleh penduduk kampung.

Katanya, beliau turut berikhtiar secara tradisional dengan menggunakan khidmat pawang namun ia juga gagal. Nizam berkata disebalik kesedihan itu beliau terharu dengan bantuan tidak putus-putus yang diberikan orang ramai termasuk yang tidak dikenali sepanjang operasi tersebut “Saya terpaksa buat keputusan ini kerana saya perlu meneruskan kehidupan seperti biasa, menyara dan bekerja keluarga.

Kepada semua, saya ucapkan terima kasih atas bantuan sama ada yang saya kenal dan tidak kenal,”ujar Nizam yang bekerja di Jabatan Kerja Raya.