Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Lebih daripada 15 buah rumah di sekitar Kg Sungai Rokam, di sini telah dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang turun tanpa henti sejak petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 7 malam itu, paras air telah naik sehingga ke paras lutut dan menyebabkan kerosakan harta benda agak teruk kepada mangsa-mangsa terlibat.

Salah seorang mangsa, Saiful Zhafran, 26, berkata beliau mula menyedari mengenai paras air tinggi itu sekitar jam lapan malam ketika keluar ke bahagian kaki lima rumahnya.

“Air naik dengan begitu mendadak, rasanya ini banjir kilat yang paling teruk pernah kami alami di Sungai Rokam ini, habis semua barang-barang elektrik, perabot dan harta benda kami. 

“Air mencecah lutut dan ada perabot yang sampai tenggelam dan terapung sewaktu kejadian ini,” katanya kepada Suara Perak. 

Tambah beliau, keadaan banjir di kawasan perumahannya bertambah teruk menjelang pukul 10 malam berikutan hujan lebat yang masih turun.

“Bagaimanapun, air dah makin surut selepas itu, kerana hujan mula renyai, kami tak dapat la nak tidur lena malam ini takut kejadian berulang, dan kami kena pindahkan barang-barang dan perabot rosak ke luar rumah,” ujar beliau.