BAGAN DATUK: Sukarelawan Perikanan (SUPER) yang terdiri daripada nelayan tempatan berperanan penting dalam memantau aktiviti perikanan serta ekosistem setempat.

Menurut Timbalan Exco Pertanian negeri, Datuk Dr. Zabri Abd Wahid, program pembangunan organisasi kumpulan sasar naungan Jabatan Perikanan itu berjaya memberi nafas baru kepada penyampaian maklumat berkaitan sektor perikanan.

Menurut beliau, sejumlah 799 orang SUPER telah dilantik di seluruh Perak dan daripada jumlah itu seramai 103 orang merupakan penduduk di daerah Bagan Datuk.

“Peranan mereka sangat penting sebagai contoh mengenai kemunculan ikan Lumba-Lumba Irrawaddy di perairan Pulau Sembilan pada awal Januari lalu.

“Difahamkan ikan lumba-lumba spesis ini tidak terdapat di negeri Perak mahupun Malaysia dan ini merupakan fenomena luar biasa untuk dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini kelak,” katanya pada Program Pengukuhan Nelayan Daerah Bagan Datuk di Dewan Orang Ramai Kg. Pasang Api, Rungkup.

Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat Jabatan Perikanan negeri, terdapat peningkatan jumlah pendaratan ikan dari tahun ke tahun ekoran pelepasan benih ikan di perairam umum.

Menurutnya, sehingga Oktober 2016, Jabatan Perikanan Negeri Perak telah melepaskan sebanyak 2.159 juta benih ikan ke perairan umum.

“Kita juga telah meningkatkan usaha untuk menguatkuasakan undang-undang membanteras peralatan yang dilarang atau salah laku seperti menuba, kejutan elektrik atau bom ikan,” ujarnya.