Sepucuk surat yang dilaporkan ditandatangani 36 anggota parlimen bagi menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertujuan menjamin peruntukan dan bukan untuk mereka melompat parti.

Memetik sumber, The Malaysian Insight (TMI) melaporkan MP BN memohon peruntukan yang sama diperolehi oleh ahli parlimen kerajaan serta meminta projek-projek era BN di kawasan mereka diteruskan pentadbiran PH.

“Sesiapa pun kalau lihat kandungan surat itu akan setuju tandatangan kerana ia demi rakyat. Sukar untuk kami berkhidmat jika tiada peruntukan atau projek untuk rakyat seperti sekolah, hospital, jalan raya dan sebagainya tidak diteruskan.

“Saya hendak tegaskan surat itu tiada kaitan dengan lompat parti atau sokong calon pengganti Dr Mahathir. Tidak ada cerita hendak masuk Bersatu pun.

“Tetapi kalau ada rundingan lain di kalangan beberapa ahli Parlimen untuk jatuhkan Zahid, saya tidak pasti,” kata MP Umno yang tidak dinamakan itu, petik TMI.

Menjelaskan lanjut, seorang lagi MP Umno menjelaskan dokumen itu juga hanya surat sokongan dan bukannya akuan bersumpah.

Peruntukan kepada MP pembangkang, k’jaan

“Itu cuma satu surat biasa yang diminta untuk kita beri kuasa kepada (ahli Parlimen Sembrong) Hishammuddin Hussien berunding perkara ini. Bukan SD seperti yang dinyatakan,” kata anggota parlimen itu.

Sebelum itu, bekas menteri pentadbiran BN, Hamzah Zainuddin berkata surat tersebut ditandatangani bagi menyokong Mahathir dan memastikan kestabilan kerajaan.

“Keputusan ini bukan buat sehari dua, tetapi sudah hampir sebulan yang lalu.

“Kumpulan yang tandatangan ini ikhlas mahu pastikan kestabilan kerajaan sekarang dalam memastikan tidak ada pihak gunakan parlimen untuk jatuhkan PM sebab kita ada dengar ura-ura.

“Kita beri sokongan kepada PM untuk memastikan kestabilan politik. Kita tidak mahu ada unsur-unsur perpecahan sehingga rakyat keliru, inikan pula pelabur luar kerana bila pelabur lihat politik tidak stabil, mereka tidak mahu melabur dalam negara ini,” katanya selepas keluar Umno bersama lima MP BN.

Mahathir pada Jun lalu berkata MP pembangkang akan turut mendapat peruntukan dari Putrajaya walaupun kurang sedikit daripada anggota parlimen parti pemerintah.

Jumlah awal yang diumumkan beliau adalah RM500,000 kepada MP kerajaan dan RM100,000 kepada MP pembangkang.

Ia perubahan daripada dasar pentadbiran BN dahulu yang tidak memberikan peruntukan kepada MP pembangkang – Malaysia kini