Komuniti gipsi atau Bajau Laut berhampiran pulau Omadal di Semporna

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menafikan mengetahui tentang pengeluaran dokumen pengenalan yang dikenali sebagai “lepa lepa” kepada komuniti gipsi atau Bajau Laut yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

Jika dokumen sedemikian dikeluarkan, ia tidak akan diiktiraf oleh kerajaan, kata Timbalan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang.

Beliau memberitahu bahawa beliau tidak tahu tentang kewujudan dokumen sedemikian sehingga membaca mengenainya dalam laporan media.

Laporan berita baru-baru ini menyebut, 10 nelayan Filipina yang diculik di pesisir Lahad Datu bulan lepas membawa surat lepa lepa yang dikatakan dikeluarkan oleh ketua kampung atau mahkamah adat di Sabah.

Surat tersebut seolah-olah mengesahkan bahawa pembawanya adalah gipsi atau Bajau Laut dan memberikan kepadanya kebenaran untuk tinggal di laut dan naik ke darat pada waktu tertentu.

Lasimbang berkata, jabatan hal ehwal anak negeri tidak memainkan apa-apa peranan dalam pengeluaran surat tersebut dan mana-mana ketua kampung atau mahkamah adat yang mungkin mengeluarkannya melakukannya secara tidak sah kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Saya fikir pemegang surat ini boleh menunjukkannya kepada polis,” katanya, yang mengesyaki nelayan terbabit mungkin membuat surat itu sendiri.

Katanya, beliau juga faham kenapa rakyat Sabah, terutamanya golongan pribumi berasa bimbang tentang kewujudan dokumen tersebut.

“Kita akan berdepan masalah sekiranya kuasa untuk mengeluarkan dokumen itu disalahgunakan oleh sesetengah pihak,” katanya.

Minggu lepas, jurucakap Forum Dayak Borneo, Andrew Atama Ambrose menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan dokumen tersebut dikeluarkan oleh warga Filipina.

Beliau berkata, wujud kemungkinan mahkamah adat tertentu menyalahgunakan kuasanya dalam satu “usaha politik” untuk mengiktiraf orang asing sebagai pribumi Sabah.

Berkait penafian Lasimbang semalam, Andrew berkata, kementerian beliau perlu memeriksa sama ada dokumen lepa lepa itu digunakan oleh pendatang haram sebagai cara untuk diiktiraf sebagai rakyat Sabah.

Beliau mendakwa kerajaan negeri bersikap memandang mudah perkara itu, selain berkata, langkah membenarkan pergerakan bebas orang di laut dan di darat akan menimbulkan masalah keselamatan.

-FMT