KUANTAN: Seorang suri rumah bukan sahaja kempunan untuk memiliki beg tangan berjenama mewah, malah kerugian RM5,880 disyaki ditipu seorang wanita dalam urusan jual beli melalui laman sosial.

Pada 11 April lalu, mangsa berusia 33 tahun dikatakan berminat membeli beg tangan jenama Yves Saint Laurent (YSL) selepas melihat tawaran dalam Instagram mygrandluxeworld.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tinggal di Kea Farm, Cameron Highlands, dikatakan kemudian memindahkan wang RM5,880 ke dalam akaun diberi oleh suspek.

“Bagaimanapun pada Ahad lalu, mangsa menghubungi nombor telefon suspek tetapi sudah disekat.

“Dia juga menghantar mesej melalui Instagram bertanyakan pembelian itu. Namun, suspek hanya menyuruh dia menunggu dan hingga kini, beg itu belum diperoleh.

“Mangsa yang mengesyaki ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, polis sudah mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, dua lelaki dipercayai ceti haram atau along, ditahan polis ketika memasang iklan pinjaman wang pada pintu kenderaan di Lorong Tun Ismail di sini, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Mohd Wazir berkata, anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah, menyedari tindakan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun itu sebelum menahan mereka.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta digunakan dua lelaki berkenaan menemukan beberapa bunting (gegantung) dan kertas pemberi pinjam wang.

“Semua barangan berkenaan dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjalankan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen yang jika sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun – berita harian