KUANTAN: “Mak kena tikam…” merupakan ayat pertama didengari pelajar darjah dua, Mohd Abid Nasrul sebaik sahaja pulang dari sekolah tengah hari Jumaat.

Dia berkata adik bongsunya Mohd Aqil, 4, menjerit memaklumkan ibu mereka Norhasilah Ismail, 34, maut akibat ditikam di bahagian kanan perut dan dada dalam kejadian cubaan samun di Kampung Hijrah di sini.

Tambahnya, semasa itu Mohd Aqil berada di dalam bilik di bahagian atas rumah itu, yang pintunya dikunci dari luar, menyebabkan adiknya menjerit meminta tolong apabila menyedari abang, bapa dan kakak tirinya sudah pulang ke rumah.

“Saya naik ke atas untuk keluarkan adik… saya beritahu ayah, tapi ayah tak percaya dan cuba mencari ibu di dapur sebelum ke ruang tamu dan menjumpai ibu yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mohd Abid, 8, berkata sebelum itu bapanya, Nasrul Mansor, 32, menjemput dia dan kakak tirinya, Nor Alia Arieysa Mohd Shuhaimi, 13, pulang dari sekolah.

Katanya, kali terakhir mereka berjumpa ialah pagi Jumaat, apabila ibunya dan Mohd Aqil menghantar dia dan Nor Alia Arieysa ke sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata mangsa dipercayai disamun selepas pulang ke rumah daripada menghantar anaknya ke sekolah sekitar pukul 8 pagi Jumaat manakala suaminya keluar menjual ikan di pasar borong Kamunting di sini.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan berlaku bergelutan sebelum mangsa ditikam. Polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah mangsa untuk mengenal pasti suspek,” katanya.

Abdul Aziz menambah mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. – BERNAMA