KUANTAN: Seorang suri rumah dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam sehingga kerugian RM151,800 akibat terperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki mengaku warga Kanada melalui Facebook.

Walaupun tidak pernah bertemu, wanita berusia 51 tahun itu dikatakan memberi kepercayaan dan sanggup meminjamkan wang berkenaan kepada suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berasal dari bandar ini dikatakan berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial itu pada Januari tahun lalu.

Dalam tempoh perkenalan, beliau berkata, suspek didakwa memberitahu mahu datang ke Malaysia atas urusan mengambil wang berjumlah RM1.2 juta milik syarikat ayahnya.

“Bagi tujuan itu, suspek meminta dipinjamkan sejumlah wang daripada mangsa terlebih dahulu dan wanita terbabit bersetuju,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dikata memasukkan duit ke dalam enam akaun berbeza diberi oleh suspek hingga berjumlah keseluruhan RM151,800.

“Selepas memasukkan semua wang itu, mangsa tidak dapat menghubungi suspek dan mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Mohd Wazir berkata, wanita itu dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam yang aktif memperdaya golongan berkenaan melalui laman sosial dengan kata-kata manis, selain menawarkan pelbagai hadiah.

“Polis sudah merakam percakapan mangsa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu semua suspek terbabit, termasuk enam pemilik nombor akaun yang dipindahkan wang oleh mangsa.

“Kita sudah mengenal pasti enam pemilik akaun terbabit dan sedang mengesan semua individu berkenaan.

“Kita berharap kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada individu lain supaya tidak terlalu mempercayai kenalan dalam media sosial,” katanya – berita harian