IPOH – Seorang suri rumah terpaksa menahan kesakitan hampir 30 jam apabila cincin emas yang dipakai tersangkut di jari telunjuk tangan kanannya dan membengkak dalam kejadian di rumahnya di Sri Klebang 2 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi semalam, wanita berusia 34 tahun tersebut cuba mencabut cincin tersebut namun gagal menyebabkan jarinya mengalami luka kecil dan membengkak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P. Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada wanita tersebut pada pukul 1.26 petang semalam sebelum tiga anggota bergegas ke rumahnya.

“Jari telunjuk wanita tersebut mengalami luka dan membengkak selepas tercedera ketika dia seharian cuba mencabutnya.

“Anggota menggunakan pemotong cincin dan berjaya mengeluarkan cincin tersebut dalam tempoh lima minit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. – K! ONLINE