Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang suri rumah maut dipercayai akibat dijerut dengan menggunakan tali nilon dalam kejadian samun di Taman Permai, Kampung Tawas, dekat sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian malang itu mayat mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemui terbaring di ruangan utama rumahnya oleh adik ipar sekitar jam empat petang.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata mayat mangsa ditemui sekitar pukul 4 petang ketika adik iparnya datang melawat keluarga itu.

Yahya berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai disamun berikutan barangan kemas milik mangsa iaitu rantai leher, anting-anting dan subang pada hidung mangsa tidak ditemui pada mayat tersebut.

Jelasnya, kesemua barangan kemas yang hilang itu dianggarkan bernilai sekitar RM3,000.

“Kejadian disedari pada pukul 4 petang oleh adik iparnya, dan ketika pemeriksaan awal polis, kami mendapati masih terdapat kesan leher di jerut dengan tali nilon diikat pada tingkap masih ada.

“Ketika kejadian bapa mertua mangsa ada di dalam rumah namun di berlainan bilik. Cuma, bapa mertua mangsa mempunyai masalah pendengaran jadi dia tak dengar ketika mangsa menjerit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini,hari ini.

Tambahnya, polis percaya kejadian tersebut dilakukan oleh dua orang suspek yang berumur lingkungan 20 hingga 30-an berdasarkan siasatan awal

Menurut Yahya, hasil siasatan ke rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran,polis telah berjaya mengenal pasti suspek dan kini dalam usaha menjejaki kedua-dua mereka.

“Kita (polis) nampak suspek masuk ke dalam rumah kurang 10 minit, dan kemudian terus keluar. Kita juga percaya suspek mempunyai pertalian saudara dengan mangsa,” ujarnya lagi.

Yahya berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.