PUTRAJAYA: Prosiding Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) Sekitar 1990-an, hari ini, akan tamat selepas bersidang selama lapan hari.

Terdahulu, Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin, yang menjadi saksi ke-25, sepatutnya memberi keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan, bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak keduanya, Rizal Ishak Tadin ketika disoal oleh Pegawai Pengendali, Datuk Suhaimi Ibrahim.

“Ayah mempunyai masalah memori singkat dan sukar untuk mengingati pelbagai kejadian lalu yang berlaku.

“Umur dia 85 tahun, tapi kalau tanya, dia akan menjawab 70 tahun kerana beliau tidak rasa seperti berusia 85 tahun,” katanya.

Dengan keterangan terakhir oleh anak bekas ketua audit negara itu, suruhanjaya siasatan berkenaan mengambil keputusan untuk tidak memanggil saksi lain dan mengarahkan peguam pemerhati untuk mengemukakan hujahan bertulis.

Suruhanjaya siasatan itu dijadualkan bersidang selama 10 hari hingga Khamis ini.

-Berita harian