MIRI: Dua lelaki dengan gaya ‘ninja’ dikesan menceroboh sebuah kedai elektrik di Krokop di sini, pagi semalam, sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM12,000.

Bagaimanapun, seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis pada jam 8 malam pada hari kejadian.

Menurut sumber, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri, untuk siasatan lanjut.

“Suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah lain, antaranya curi motosikal dan pecah rumah. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian ini,” katanya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan, dua lelaki yang tidak berbaju dan menutup kepala seperti ‘ninja’ dikesan menceroboh melalui bumbung kedai.

“Suspek terbabit kemudian melarikan wang tunai RM12,000 yang ada di bahagian kaunter kedai itu,” katanya.

Kejadian disedari pada jam 9 pagi ketika pemilik kedai lelaki berusia 40 tahun mahu memulakan perniagaannya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan dan kes dalam siasatan – berita harian