KUALA LUMPUR: Dua atau mungkin juga tiga warga Korea Utara yang juga suspek kes bunuh Kim Jong-nam dipercayai menaiki pesawat yang turut membawa mayat mangsa kes itu dalam penerbangan dari KLIA, dipercayai hasil persetujuan bersama antara kedua negara.

Gambar yang dirakam Reuters dari agensi berita Jepun, Kyodo menunjukkan Hyon Kwang Song, setiausaha kedua di Kedutaan Korea Utara di sini dan Kim Uk-il, kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo dalam pesawat yang dalam perjalanan ke Beijing pada petang Khamis.

Imej kedua-dua suspek itu sama seperti mana yang disiarkan Bukit Aman sebelum ini.

Keranda yang membawa mayat Jong-nam juga dipercayai dalam pesawat sama walaupun ia tidak disahkan pihak berkuasa.
Laporan media tempatan menyebut, suspek ketiga, Ri Ji-u atau dikenali sebagai James yang dikatakan bersembunyi di kedutaan negara itu di ibu negara telah dibenarkan pulang ke tanahairnya.

Ketiga-tiga suspek akan meneruskan perjalanan ke Pyongyang dari Beijing.

Pihak berkuasa Malaysia membenarkan mayat Jong-nam dihantar pulang ke negara asalnya pada Khamis selepas perjanjian pembebasan sembilan rakyat Malaysia di Pyongyang dipersetujui kedua pihak.