NI muka penyangak ni, dah dapat dah ni, budak Kangkar Pulai,” kata lelaki dalam video penahanan suspek curi bas di kebun sawit berdekatan Jalan Pulai Indah 2/14, Johor Bahru, semalam.

Video yang tular sejak petang semalam menunjukkan lelaki berbaju hijau bernombor ’88 Malaysia’ ditahan anggota polis dalam keadaan kedua-dua tangan berikat dengan tali pinggang.

Video berdurasi 10 saat itu dikongsi laman sosial Facebook (FB) Pasal Johor selepas lelaki berkenaan dilaporkan orang awam melarikan diri di kawasan ladang sawit.

“Bas Syarikat Kembara dicuri pagi tadi. Katanya ada yang nampak ke Kota Tinggi,” status yang dikemas kini pemilik FB berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri (Operasi), Superintendan Ismail Dollah berkata, suspek ditahan pada 11 pagi semalam susulan aduan kecurian bas oleh ketua operasi syarikat bas.

“Pengadu dalam laporannya mendakwa meletakkan bas dalam keadaan baik dan berkunci di Jalan Sibur-Sibur berdekatan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Permai Kangkar Pulai pada 11.30 malam, 13 September lalu.

“Ketika ingin menggunakan bas pada keesokannya pada 6 pagi (semalam), pengadu mendapati kenderaan itu sudah hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pengadu berusaha mencari bas itu di kawasan sekitar, namun tidak menemui sebelum mengesyaki kenderaan itu dilarikan.

“Sebaik membuat laporan polis, maklumat diperoleh orang ramai menemukan bas itu di jalan Pulai Indah 2/14.

“Suspek bagaimanapun sudah melarikan diri di dalam kebun sawit berdekatan,” katanya nilai kerugian RM70,000.

Pihak polis dengan bantuan orang awam mencari suspek dan berjaya menahannya di kebun sawit di kawasan berdekatan.

Siasatan lanjut, suspek yang berusia 31 tahun dan beralamat di Kangkar Pulai tidak mempunyai rekod jenayah, namun positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan – hmetro