TAIPING: Polis telah mengenalpasti keinginan memiliki basikal antik menyebabkan seorang lelaki bertindak menumbuk sehingga menyebabkan seorang nenek maut di Jalan Walker, Pokok Assam, dekat sini tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 34 tahun berjaya ditahan polis berdekatan Klinik Kesihatan Tupai pada jam 10 pagi tadi.

Menurutnya penangkapan yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Taiping itu mendapati suspek terlibat dengan kejadian pada 26 Jun lalu.

“Hasil soal siasat awal suspek mengaku terlibat di dalam kes tersebut dan basikal mangsa berada di rumah suspek.

“Motif pembunuhan kerana suspek minat basikal antik mangsa dan tidak tahu tindakan itu menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 5.48 petang pada 26 Jun lalu, Yeong Lean Yoong,72, tahun dalam perjalanan pulang dengan menyorong basikalnya.

Dikatakan suspek yang menunggang sebuah motorsikal menarik basikal terbabit sebelum menumbuk mangsa di bahagian leher.

Mangsa dilaporkan terjatuh di bahagian tepi jalan dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Taiping oleh orang awam.

Mangsa disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian ketika menerima rawatan.