MUALLIM – Seorang lelaki dipercayai ejen pertaruhan judi Bola Sepak Dunia 2018 meninggal dunia ketika cuba melarikan diri semasa serbuan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) Bukit Aman di sebuah premis di Pekan Behrang Stesen, Behrang di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, semasa serbuan kira-kira jam 10 malam itu mangsa berusia 42 tahun bertindak agresif apabila menyedari kehadiran pasukan terbabit.

“Suspek disyaki cuba melupuskan bahan bukti dengan menelan sekeping kertas pertaruhan serta memecahkan sebuah komputer riba dengan menghempas ke lantai.

“Suspek cuba melarikan diri daripada ditangkap secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa polis sedang melakukan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Slim River bagi mendapatkan bantuan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat dijalankan esok bagi mengetahui punca sebenar kematian. Kes mangsa masih disiasat sementara menunggu laporan hasil bedah siasat itu.

“Pada masa sama, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 kerana menjalankan pertaruhan judi,” katanya – sinar