PENGASUH yang dipercayai suspek utama kes kematian seorang bayi lelaki berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, dibawa ke rumahnya, di Jalan Nakhoda Kiri 3, Batu Caves, di Gombak, pagi tadi untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, proses itu untuk memberi gambaran lebih jelas berhubung kejadian selain untuk mengetahui punca kecederaan parah di kepala yang disahkan menjadi punca kematian bayi lelaki berkenaan.

“Kita membawa suspek yang berusia 33 tahun itu ke rumahnya hari ini untuk membantu siasatan bagaimana kejadian berlaku di lokasi kejadian.

“Sehingga kini kami tidak dapat mengenal pasti punca kecederaan pada bahagian kepala bayi itu. Jadi suspek dibawa ke rumahnya juga adalah untuk menjelaskan bagaimana kepala mangsa mengalami kecederaan sedemikian,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kerana bimbang mengganggu proses itu ketika ini.

Adam Rayqal yang dilaporkan hilang selepas didakwa diambil seorang lelaki, ditemui mati di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda kira-kira jam 11 malam Selasa lalu

Ali berkata, mayat Adam Rayqal disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu lengkap dengan pakaian dan berbalut kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau ditemui oleh sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan.

Pihak polis menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun sejurus kemudian dan mayat bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, hasil bedah siasat terhadap mangsa menemui kesan retak di tempurung kepala sebelah kiri serta pendarahan di bahagian kanan otaknya yang menjadi punca kematian bayi itu – hmetro