BAGAN SERAI – Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian bunuh seorang ahli perniagaan di Taman Wawasan di Parit Buntar, setelah tiga saksi tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata berdasarkan keterangan yang diberikan saksi, polis yakin akan dapat mengesan suspek yang terlibat.

“Namun setakat ini tiada suspek yang ditahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kerian DSP Sanusi Salleh serta 270 anggota polis termasuk pegawai.

Ahli perniagaan itu maut selepas ditikam pada bahagian perut ketika mempertahankan rantai emas isterinya daripada diragut dua suspek bermotosikal pada 6.30 petang, 6 Julai lalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Yeap Ah Kang @ Bak Seng, 73, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang manakala isterinya Teow Siew Gaik, 67, cedera ringan. – BERNAMA