GEORGETOWN: Seorang lelaki dipercayai suspek bagi kes pembunuhan wanita yang mayatnya ditemui dalam tangki najis, semalam, berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan di Balik Pulau dengan lelaki terbabit dijangka direman, esok.

“Ya, kita sudah berjaya menahan suspek kes terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan saya akan beri makluman lanjut kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Misteri kehilangan seorang wanita sejak 19 September lalu, terjawab selepas mayatnya ditemui di dalam tangki najis belakang rumahnya di Sungai Burung, di sini, petang semalam.

Mangsa dipercayai dibunuh anak kandungnya sendiri pada Rabu lalu, sebelum mayat wanita malang berkenaan disembunyikan di dalam tangki najis rumah mereka.

Mayat mangsa yang tenggelam di dalam tangki sedalam 1.2 meter itu ditemui menantunya kira-kira jam 2 petang semalam sebelum menghubungi polis – berita harian