BALIK PULAU: Polis mengesahkan suspek kes pembunuhan seorang wanita yang mayatnya dihumban ke dalam tangki najis baru-baru ini, tidak mengalami masalah mental.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan, berkata ia susulan nama suspek tidak didaftarakan di mana-mana pusat psikiatri atau hospital mental.

“Setakat ini, suspek positif ketagihan petrol sahaja yang menyebabkan dia khayal dan berhalusinasi. Dia akan berkelakuan seperti individu normal apabila tidak berada di bawah pengaruh petrol.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dan tidak hanya bergantung kepada pengakuan suspek. Kita masih mengumpulkan bukti kes ini.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk mengemukakan permohonan reman tambahan, sekiranya siasatan kes ini tidak dapat diselesaikan sehingga Selasa depan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kelmarin, Mahkamah Majistret di sini, membenarkan lelaki berusia 29 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibunya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia susulan kejayaan penahanan suspek yang juga dikenali sebagai ‘Bro Chik’ itu di hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya di Jalan Air Putih di sini, kira-kira jam 8.45 pagi, Selasa lalu.

Siasatan awal mendapati, suspek yang juga anak bongsu kepada mangsa mengaku menusuk pisau pemotong sayur pada bahagian leher, sebelum mengelar leher ibunya selepas kedua-dua mereka bertengkar di dapur kediamannya, pada 19 September lalu.

Ketika kejadian, suspek dilapor di bawah pengaruh petrol dan mengaku menolak simen tangki kumbahan serta meletakkan mangsa ke dalam ruangan berkenaan, dengan kejadian itu dikatakan dilakukannya sendiri.

Mayat Faridah kemudian ditemui Ahad lalu, selepas mangsa dilaporkan hilang hampir seminggu – berita harian