KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua suspek yang berjaya ditahan kerana disyaki membunuh seekor kucing bunting dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi, dipercayai cuba mengubah penampilan rupa bagi mengelakkan diri daripada dikenali ketika diburu polis.

Ketika ditahan di sekitar kawasan Gombak oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, awal pagi semalam, suspek berkenaan didapati sudah membotakkan kepala dan mencukur bersih mukanya.

Suspek itu dipercayai berbuat demikian susulan tindakan polis mendedahkan gambar tiga lelaki dikehendaki bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana membunuh haiwan.

Bagaimanapun, langkah suspek itu gagal menghalang polis daripada menjejakinya sebelum direman hingga Isnin ini.

Selain suspek itu, polis dilaporkan berjaya menahan seorang lagi lelaki terbabit di sekitar Gombak pada awal pagi semalam, yang juga direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Seorang lagi lelaki yang turut dirakam berada di dobi terbabit ketika kejadian, masih diburu polis.