KOTA KINABALU: Isteri seorang daripada mangsa culik menerima panggilan daripada suspek meminta wang tebusan sebanyak RM4 juta, kata polis hari ini.

Wang berkenaan adalah tebusan bagi dua mangsa warga Indonesia, yang merupakan nelayan bagi pengusaha bot nelayan tempatan, yang di culik sekitar perairan Pulau Bod Gaya, Semporna pada 11 September lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, mengesahkan isteri mangsa menerima panggilan terbabit pada 18 September lalu sekitar jam 10.24 pagi.

“Bagaimanapun, tiada sebarang had masa tertentu diberikan suspek kepada isteri mangsa yang berada di Sulawesi, Indonesia menyerahkan wang tebusan berkenaan.

“Panggilan ini dipercayai dibuat daripada negara jiran memandangkan nombor mereka gunakan adalah nombor antarabangsa Filipina.

“Kita percaya selepas ini pasti ada sebarang perbincangan antara penculik dan keluarga mangsa berkaitan wang tebusan yang diminta,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Khas Pesuruhjaya Polis Sabah, di sini, sebentar tadi.

Perbarisan terbabit dilaksanakan sempena pelantikan Datuk Omar Mammah selaku Pesuruhjaya Polis Sabahyang baharu.

Beliau memangku jawatan berkenaan sejak 3 September sebelum menerima pelantikan sah pada 12 September lalu.Omar berkata pihaknya atau keluarga mangsa setakat ini tidak menerima sebarang ugutan berkaitan kes penculikan itu.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya akan terus memantau kes terbabit demi memastikan keadaan dua mangsa culik berkenaan berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Omar berkata berkaitan pengharaman bot pam di perairan negeri ini, perkara berkenaan masih dalam peringkat kajian semula.

“Beberapa siri mesyuarat bakal dibuat dan apabila keputusan sudah muktamad, kita akan berikan kepada kerajaan negeri namun terpulang sekiranya mahu dilaksanakan atau tidak.

“Bagaimanapun, kita akan tengok keberkesanan keputusan itu nanti dan pastinya pihak keselamatan hanya mengikut kata putus kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri ada menyatakan akan menyemak semula pengharaman penggunaan bot pam di perairan Sabah.

Penggunaan bot jenis ini telah diharamkan kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini berikutan penggunaannya dalam jenayah rentas sempadan termasuk penculikan – berita harian