LUMUT 11 Ogos – Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes curi dan empat kes ragut di daerah ini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitenden Chong Boo Khim berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 1.15 petang semasa pihak polis membuat pemantauan ke atas sebuah motosikal disyaki milik suspek di hadapan sebuah kedai motosikal di Manjung.

“Lebih kurang 20 minit membuat pemantauan, suspek datang untuk menghidupkan enjin motosikal jenis Yamaha LC dan polis berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chong Boo Khim, polis merampas sebuah beg kain, beg duit, satu kunci kereta, dua telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM380, dua anak kunci motosikal jenis Yamaha LC sebuah motosikal Yamaha LC dan sebilah pisau kecil.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan kes curi dan suspek juga mengaku terlibat dalam empat kes ragut di Manjung.

Sementara itu, dalam kes lain, Boo Khim berkata, pihaknya berjaya menemukan semula sebuah kenderaan kereta pacuan empat roda berhampiran tokong di Kampung Jering dekat sini hari ini.

Menurutnya, kenderaan itu ditemukan pada pukul 10 pagi hasil maklumat daripada orang awam.

Katanya, semakan mendapati kenderaan ini dilaporkan hilang bersabit kes samun di Segari dekat sini empat hari lalu.

“Tujuh cap jari dikesan pada kenderaan tersebut dan polis akan mengambil tindakan setelah maklumat diperoleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE