KANGAR: Ujian saringan air kencing ke atas dua suspek yang direman seminggu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak berusia enam tahun, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, mendapati mereka negatif pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci ke atas dua suspek, yang juga ibu mangsa dan kekasihnya.

“Ujian ke atas kedua-dua mereka mendapati mereka tidak dipengaruhi dadah.

“Kita masih menjalankan siasatan ke atas mereka. Itu sahaja yang saya boleh maklumkan, selainnya masih di peringkat siasatan dan sulit untuk didedahkan,” katanya.

BERITA TERDAHULU : Kanak-kanak 6 Tahun Maut Disyaki Didera

Terdahulu, NSTP melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki maut selepas didera teman lelaki ibunya hingga patah rusuk dan pecah usus.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, menjalankan bedah siasat ke atas mayat Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, Khamis lalu.

Sementara itu, difahamkan, suspek lelaki yang juga kekasih ibu mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan menetap di Sungai Petani, Kedah.

Menurut sumber, lelaki itu yang dalam proses perceraian, melarikan anak perempuannya berusia kira-kira empat tahun sejak dua bulan dan menginap di daerah itu.

Isteri suspek dikatakan pernah ke rumah keluarga ibu mangsa di Kampung Abi Tok Hashim, di sini, bagi mencari anak perempuannya.

Bagaimanapun, anak perempuannya itu dikatakan hilang selepas suspek dan kekasihnya menyerah diri pada petang khamis lalu sebelum suspek mengaku sudah menghantarnya ke rumah ibu saudaranya di Chemor Perak – berita harian