IPOH: Prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, kecoh apabila seorang lelaki di kandang tertuduh menangis dan meraung selepas bapanya menarik balik jaminan.

Tertuduh, M. Henry Dass, 26, turut dilihat sujud di bahagian tepi kandang, berhampiran bapanya, V. Maria Dass, 55, yang berdiri untuk menjelaskan kepada mahkamah mengapa dia enggan membayar ikat jamin anaknya.

Maria Dass menarik balik ikat jamin diberikan kepada anaknya yang dituduh terbabit dalam samun berkumpulan kerana mendakwa anaknya itu tidak serik-serik melakukan kesalahan jenayah.

Beliau meluru ke hadapan mahkamah sebaik Hakim S Indera memberitahu jaminan sebanyak RM3,000 terhadap anaknya itu diteruskan selepas didakwa 20 Jun 2016 atas tuduhan samun berkumpulan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Herry Dass kemudiannya terus menangis dan meraung di dalam kandang tertuduh sambil memohon maaf kepada bapanya sebelum Indera Nehru menangguhkan prosiding bagi memberi peluang kepada dua beranak itu berbincang.

Selepas prosiding dimulakan semula, Maria Dass tetap dengan keputusannya untuk memohon mahkamah menarik balik ikat jamin diberikan terhadap anaknya itu.

Herry Dass terus meraung serta meluru ke arah bapanya sebelum sujud di kaki bapanya memohon maaf namun Maria Dass enggan memaafkan anaknya itu.

Indera Nehru kemudiannya membenarkan permohonan Maria Dass untuk menarik balik ikat jamin terhadap tertuduh dan memberitahu Maria Dass yang keputusan menarik balik itu akan kekal.

Maria Dass ketika ditemui pemberita berkata, beliau enggan mengikat jamin anaknya kerana dia tidak pernah insaf dan terus melakukan jenayah.

“Saya telah habis lebih RM20,000 untuk membayar denda bagi tiga atau empat kes yang dia lakukan dan semua duit itu, saya terpaksa pinjam daripada orang lain,” katanya.