SERDANG: Suspek kes langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, berjaya ditahan polis pada jam 1.43 pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.08 malam itu, seorang wanita maut, manakala empat lagi parah selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang makan di sebuah restoran di Taman Equine.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata lelaki yang berasal dari Sarawak itu ditahan selepas majikannya menyerahkan suspek kepada pihak polis.

“Kenderaan itu adalah milik majikan suspek. Kami kesan pemilik sebelum dia menyerahkan suspek kepada pihak polis.

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek adalah negatif dadah. Bagaimanapun, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan darah suspek diambil bagi ujian alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, semakan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu. Permohonan perintah reman terhadap suspek akan dilakukan pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya jam 10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum itu, kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek ditemui ditinggalkan di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, di sini, kira-kira jam 11 malam tadi – berita harian