IPOH: Seorang lelaki berusia 52 tahun yang merupakan suspek kes cabul dan liwat tiga pelajar sebuah sekolah di sini ditemukan mati dipercayai menggantung diri di dalam sebuah bilik hotel di sini pada petang Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, mayat lelaki itu yang merupakan jurulatih fisioterapi pasukan bola sepak sekolah dijumpai pekerja hotel pada jam 5.40 petang.

Menurutnya, sehari sebelum kejadian (Isnin), tiga pelajar berusia 14 hingga 15 tahun telah membuat laporan polis yang mendakwa jurulatih itu telah meliwat dan mencabul mereka.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut telah berulang-ulang berlaku antara Mei 2016 dan Mac 2017 di rumah suspek dan bilik hotel.

“Suspek akan memberi sebiji pil kepada mangsa dengan alasan untuk membesarkan badan, selepas menelan pil itu mangsa separuh sedar.

“Suspek kemudiannya dikatakan meliwat dan menghisap kemaluan mangsa.

“Selepas itu, mangsa dibawa membeli barang seperti telefon bimbit, baju, seluar dan kasut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah Tian Kee, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rakan-rakan pelajar terbabit yang dipercayai turut menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Mayat lelaki yang telah bekerja di sekolah berkenaan selama 10 tahun, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.