JOHOR BAHRU: Lelaki dalam video yang tular kerana diikat dan dimandikan di tempat mandi jenazah disyaki suspek yang cuba memecah tabung Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Sungai Tiram dekat Ulu Tiram, pada 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah, berkata suspek berjaya ditahan orang awam pada jam 10 pagi semalam sebelum diserahkan kepada polis.

“Ketika anggota peronda MPV membuat tugas rondaan, menerima maklumat menyatakan ada tangkapan dibuat oleh orang awam terhadap seorang lelaki yang cuba memecah tabung di surau itu.

“Tiba di lokasi, beberapa orang awam menyerahkan suspek bersama sebuah motosikal yang disyaki digunakan olehnya,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) surau mendapati suspek masuk dan cuba memecah tabung surau pada 10 Mei lalu, tetapi gagal.

Katanya, hasil semakan rekod lampau, suspek yang berusia 26 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah mencuri dalam bangunan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, tular di laman sosial Facebook (FB), video berdurasi seminit 22 saat yang memaparkan seorang lelaki ditangkap orang ramai kerana disyaki memecah tabung surau sebelum diikat dan disirami air di atas tempat mandi jenazah.

Tindakan itu (menyiram suspek di tempat mandi jenazah) dilakukan jawatan kuasa surau terbabit yang mendakwa untuk memberi pengajaran kepada suspek.

Timbalan Pengerusi Surau At-Taqwa, Kampung Mulia, Ramle Ahmat, berkata kejadian pecah tabung di surau berkenaan sudah beberapa kali berlaku selain kes curi beg tangan jemaah wanita ketika sedang menunaikan solat.

“Sebenarnya kejadian pecah tabung ini sudah kali kelima berlaku di surau yang sama sejak dua tahun lalu.

“Kami mendapat maklumat selepas melihat CCTV dan semalam, berlaku lagi orang yang sama buat, namun berjaya ditangkap oleh orang kampung serta Ahli Jawatan Kuasa (AJK) surau,” katanya.

Ramle berkata, tindakan AJK dan orang kampung itu langsung tidak berniat untuk mengaibkan mana-mana individu, sebaliknya sebagai kesedaran dan pengajaran kepada suspek serta orang lain.

Katanya, kejadian pecah tabung surau itu berlaku pada jam 9.15 pagi dan dia dimaklumkan oleh AJK lain sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Ulu Tiram pada jam 11.20 pagi semalam – Berita harian