PUTRAJAYA: Individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi wajib berbaju lokap berwarna oren ketika dibawa ke mahkamah untuk berdepan pendakwaan, kata Latheefa Koya.

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, pemakaian baju lokap oren hanya dibenarkan apabila suspek ditahan dalam lokap agensi anti-rasuah itu.

Katanya, arahan itu dan peraturan menggari suspek antara beberapa pembaharuan SPRM yang akan diumumkan esok.

“Saya sudah beri arahan, semua individu ditahan SPRM apabila mereka dibawa ke mahkamah, mereka tidak lagi boleh dipakaikan baju lokap SPRM.

“Sudah tentu mereka perlu memakainya apabila di dalam lokap, namun tidak lagi dibenarkan memakai baju oren apabila mereka dibawa ke mahkamah,” katanya dalam wawancara bersama FMT hari ini.

Pada Ogos 2017, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Dzulkifli Ahmad mempertahankan langkah untuk suspek berbaju lokap oren ketika dibawa ke mahkamah.

Katanya, SPRM tidak pernah memilih bulu dengan menggari pemimpin pembangkang dan kenamaan kerajaan pula hanya dipakaikan baju lokap oren.

Ia selepas bantahan peguam hak asasi, N Surendran yang menyifatkan langkah itu melanggar Perlembagaan Persekutuan dan peraturan penjara.

Beliau memetik Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Penjara 2000 yang menyatakan individu ditahan pihak berkuasa boleh menolak pemakaian baju lokap.

Katanya, Peraturan 168 Peraturan Penjara 2000 menyatakan ia mandatori untuk pihak berkuasa penjara membenarkan tahanan yang belum disabitkan kesalahan untuk memakai baju mereka sendiri.

-FMT