BAGAN SERAI: Siasatan awal menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, pagi Ahad membawa 16 orang, termasuk pemandu dan penumpang hadapan.

Bagaimanapun, pemandu dan penumpang hadapan melarikan diri selepas kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu.

Serentak dengan itu, polis menubuhkan pasukan bertindak atau ‘Task Force’ bagi mengesan kedua-dua mereka, yang juga warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 57 tahun yang beralamat di Kampar, Perak.

“Satu team ‘task force’ dengan bantuan KBSJD Kerian dan KSBD Kerian serta KBSJD Kampar diarahkan untuk mengesan pemandu dan penumpang yang melarikan diri serta tuan punya kenderaan SUV berkenaan,” katanya dalam kenyataan petang Ahad.

Dalam kejadian itu, tiga maut manakala 11 cedera, termasuk tujuh parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas lalu terlanggar pembahagi jalan, menyebabkan empat mangsa tercampak keluar dan terjatuh ke bawah jambatan.

Tiga daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.

Polis percaya 14 warga Myanmar yang terlibat dalam kemalangan itu cuba diseludup masuk ke negara ini oleh satu sindiket penyeludupan manusia.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, polis percaya kumpulan 13 lelaki dan seorang wanita itu cuba diseludup ke satu kawasan tertentu.