IPOH: Sejak kebelakangan ini, syarikat swasta semakin berkurangan untuk tampil memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan yang dilancarkan pada 31 Julai setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, berdasarkan rekod, kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak menyumbang untuk tabung tersebut.

Sehubungan itu, kata beliau, bagi tahun ini, pihaknya akan memperhebatkan kempen untuk mengutip sumbangan daripada pihak swasta di negeri ini.
swasta-pahlawan 2

“Saya berharap syarikat swasta akan tampil menghulurkan sumbangan sebagai penghargaan terhadap jasa pahlawan yang kita nikmati bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa, sumbangan perayaan dari kerajaan negeri dan memulangkan kutipan Tabung Pahlawan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Perak di sini pada Khamis malam.

Hadir sama Orang Besar Jajahan Manjung, Lt Kol (B) Datuk Shaharudin Nazari dan Yang Dipertua PVATM Cawangan Perak, Lt Kdr (B) Jayah Said.

Sebanyak RM239,000 telah diserahkan kepada 44 cawangan PVATM di Perak di samping Srikandi.

Samsudin memberitahu, tahun ini sumbangan kepada setiap cawangan ditambah menjadi RM4,000, berbanding RM3,000 tahun lalu, di samping RM1,000 lagi yang dijanjikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa merasmikan mesyuarat agung persatuan itu baru-baru ini.