IPOH: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak hari ini mencadangkan agar aktiviti penangkapan haiwan liar yang mengancam keselamatan dan tanaman penduduk, diswastakan bagi membendung masalah itu dari berlarutan.

Datuk Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) mencadangkan supaya penangkapan binatang liar seperti kera, monyet dan lotong itu diswastakan dan dilupuskan berbanding dilepaskan di kawasan lain.

“Selama ini kita hanya tangkap dan lepaskan ia di tempat lain, maka binatang itu akan mengancam kawasan lain pula kerana ia membiak dengan cepat, cadangan itu membolehkan penggemar haiwan eksotik untuk mendapatkan bekalan dengan sah,” katanya.

Beliau mencadangkan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Mengambil maklum cadangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria menjelaskan, setakat ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan memasang pagar elektrik di kawasan yang menerima ancaman binatang liar.

“Selain pagar elektirk yang bersesuaian untuk menghalau binatang seperti gajah mengganggu kacau di sesebuah kawasan, kita (Perhilitan) juga mengambil tindakan tembak halau atau tembak mati.

“Kita juga menjemput pemburu berlesen dan melatih pengadu untuk memasang perangkap sendiri dengan kos minimum; melalui cara itu kita menerima kesan yang positif untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.